Sabtu, 23 April 2011

Proses Pengosmokawalaturan dalam Badan Manusia

Ginjal adalah organ yang terlibat dalam proses pengosmokawalaturan. Dalam penghasilan air kencing, jumlah air yang diserap semula di liku Henle menimbulkan dua kemungkinan iaitu:
1. Apabila lebih garam dalam badan dan kurang air
2. Apabila kurang garam dalam badan dan lebih air
Apabila aras garam lebih dari julat normal, darah menjadi pekat, atau dalam kata lainnya, kurang air dalam badan. Hal ini membawa kepada peningkatan tekanan osmosis darah dan osmoreseptor pada hipotalamus akan terangsang. Seterusnya kelenjar pituitari akan dirangsang lebih aktif untuk merembeskan hormon ADH (antidiuresis) untuk meningkatkan ketelapan tubul ginjal terhadap air manakala kelenjar [[adrenal](hormon aldosteron) akan kurang dirangsang. Maka lebih banyak air diserap dan kurang ion natrium dan ion kalsium diserap semula masuk dalam badan sehingga tekanan osmosis darah akan turun. Proses ini akan berulang sehingga tekanan osmosis darah turun pada julat normal.
Apabila aras garam rendah dari julat normal dalam badan dan banyak air dalam badan, tekanan osmosis darah akan menurun. Osmoreseptor pada hipotalamus akan terangsang dan menghantar impuls kepada kelenjar pituitari. Kelenjar ini menjadi kurang dirangsang untuk merembeskan hormon ADH (antidiuresis) untuk mengurangkan ketelapan tubul ginjal terhadap air manakala kelenjar adrenal(hormon aldosteron) akan dirangsang dengan lebih aktif sehingga kurang air diserap dan kurang natrium dan kalsium diserap semula masuk dalam badan. Tekanan osmosis darah akan naik dan proses ini akan berulang sehingga tekanan osmosis darah meningkat pada julat normal.
Fungsi hormon antidiuresis ialah:
• Merangsang penyerapan semula air pada tubul ginjal - Menambah ketelapan tubul ginjal terhadap air.
Fungsi hormon aldosteron ialah:
• Mengekalkan keseimbangan ion natrium dan ion kalsium dalam darah - Penyerapan ion kalsium dan ion natrium pada tubul ginjal.
• Memelihara keseimbangan air dan garam dalam darah
Air yang tidak diserap masuk semula dalam badan akan keluar sebagai air kencing.
Air kencing
Proses pembentukan air kencing terdiri daripada 3 proses iaitu:
1. Proses Ultraturasan
2. Proses Penyerapan Semula
3. Proses Pembuangan Air Kencing
Diantara bahan beracun yang disalur keluar ialah:
• Urea
• Asid urik
• Ammonia
• Dadah - Contoh steroid
Diantara kandungan air kencing ialah:
• Air
• Urea
• Asid Urik
• Ammonia
• Natrium
• Klorida
• Fosfat
Kawalan Suhu Badan Manusia
Terdapat 2 kaedah pengawal suhu badan iaitu:
1. kaedah fizikal
2. Kaedah metabolik
Semua kaedah untuk mengawal suhu badan adalah dengan bantuan koordinasi badan.
Pengawalan suhu dengan kaedah fizikal
Kaedah ini dikenali sebagai kaedah fizikal kerana kawalaturan lebih kepada penggunaan otot-otot badan dan secara fizikal. Diantara kemungkinan yang akan berlaku ialah:
1. Suhu badan tinggi melebihi julat yang normal
2. Suhu badan rendah melebihi julat yang normal
Apabila suhu badan tinggi, termoreseptor akan mengesan suhu pada kulit lalu menghantar impuls kepada otak iaitu hipotalamus yang berfungsi sebagai termostat mengesan suhu darah yang melaluinya. Mekanisme pembetulan akan diarah atau dirangsang oleh hipotalamus dengan menggunakan koordinasi badan.
• Mekanisme pembetulan apabila suhu badan tinggi ialah:
1. Pemvasodilatan - Salur darah mengembang untuk berdekatan dengan kulit (iaitu persekitaran luar) yang membolehkan haba dibebaskan keluar.
2. Bulu kulit dicondongkan - Mengurangkan udara daripada terperangkap pada kulit supaya haba mudah dibebaskan kerana udara adalah penebat haba yang baik.Bulu kulit dikawal oleh otot erektor.
3. Lebih darah pada kulit (Kulit kelihatan merah) - Memudahkan haba daripada darah terbebas keluar melalui proses sinaran.
4. Berpeluh - Air peluh yang dirembes oleh kelenjar peluh mempunyai haba pendam tentu yang tinggi dapat menyerap haba yang tinggi dan terbebas ke persekitran apabila air peluh mengewap.
Haiwan seperti anjing dan kucing tidak mempunyai kelenjar peluh kecuali di tapak kaki mereka. Oleh itu, anjing akan menjelirkan lidahnya manakala kucing akan menjilat bulunya supaya suhu badan mereka berkurangan.
Apabila suhu badan rendah, perkara yang sama berlaku, di mana termoreseptor menghantar impuls kepada hipotalamus. Perbezaannya adalah bagaimana hipotalamus bertindak untuk meningkatkan suhu badan ke julat yang normal.
• Mekanisme pembetulan apabila suhu badan rendah ialah:
1. Pemvasocerutan - Salur darah mengecut untuk menjauhi kulit. Dengan ini haba kurang dibebaskan ke persekitaran.
2. Bulu kulit ditegakkan - Udara akan terperangkap dicelah-celah bulu roma dan bertindak sebagai 'selimut' supaya haba sukar dibebaskan kerana udara adalah penebat haba yang baik.
3. Kurang darah pada kulit (Kulit kurang kelihatan kemerahanan atau pucat) - Kurang mengalami proses sinaran untuk mengurangkan haba daripada terbebas keluar ke persekitaran.
4. Kurang berpeluh - Apabila kurang air peluh dirembeskan oleh kelenjar peluh maka haba kurang dibebaskan melalui pengewapan air peluh.
Pengawalan suhu dengan kaedah metabolik
Kaedah ini dikenali sebagai kaedah metabolik kerana kawalaturan lebih kepada penggunaan kimia badan daripada secara fizikal walaupun terdapat kawalaturan yang melibatkan otot-otot. Kawalan ini melibat peranan:
• Otot rangka
• Kelenjar adrenal
• Kelenjar tiroid
Dalam keadaan sejuk, hipotalamus akan mengawal otot rangka untuk mengecut dan mengendur secara aktif. Hal ini akan menyebabkan seseorang mengigil dan meningkatkan suhu badan. Dalam masa yang sama, kelenjar adrenal akan merembeskan hormon adrenalina dan noradrenalina manakala kelenjar tiroid akan merembeskan hormon tiroksina, semua hormon ini bertujuan untuk meningkatkan suhu badan dengan cara meningkatkan metabolisme badan.
Dalam keadaan panas, aktiviti otot rangka akan berkurangan, begitu juga dengan perembesan hormon-hormon tertentu oleh kelenjar adrenal dan kelenjar tiroid akan berkurangan.
Hormon adrenalina dan noradrenalina bertindak dengan:
1. Meningkatkan kadar denyutan jantung dan kadar pernafasan.
2. Meningkatkan tekanan darah
3. Meningkatkan metabolisme badan
4. Meningkatkan aras gula darah dengan merangsang penukaran glikogen kepada glukosa.

0 komentar:

Posting Komentar

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites